Isnin, 12 Februari 2024

Pemuda ditahan kes intai wanita guna 'spy cam' yang disembunyikan dalam bilik air


Polis semalam menahan seorang pemuda yang disyaki terlibat dalam kes mengintip seorang wanita dengan menggunakan kamera tersembunyi atau spy cam di dalam bilik air sebuah inap desa di Jelutong, George Town.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, suspek ditahan di Kuala Lumpur dan direman selama empat hari bermula semalam.


"Suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan," katanya.


Beliau berkata, pemeriksaan pihak polis sebelum penahanan suspek mendapati 'link' yang terdapat pada kamera itu dihubungkan dengan telefon bimbit milik seorang lelaki.


Pihak polis juga telah merekodkan keterangan empat individu termasuk pengadu dan pengurus rumah inap desa tersebut bagi membantu siasatan kes tersebut.


Sebelum ini, tular di aplikasi X mengenai dakwaan seorang wanita yang mendakwa dirinya menjadi mangsa intipan dengan menggunakan kamera tersembunyi.


Wanita berusia 24 tahun itu mendakwa percutiannya bersama rakan menjadi mimpi ngeri selepas menyedari kejadian itu, 5 Februari lalu.


Susulan daripada kes itu, polis kelmarin mengesahkan telah menerima laporan kejadian tersebut dan sedang menyiasat kes itu dari pelbagai sudut.


Menurut Razlam, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.


Tangkap layar penemuan kamera tersembunyi di dalam tandas sebuah inap desa di Jelutong, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon