Beberapa kenderaan dilaporkan rosak di sebuah stesen minyak di wilayah Sumatera Utara, gara-gara pekerjanya tersilap mengisi minyak diesel, lapor portal berita Detiksumut, semalam.
Video kejadian itu yang kini tular di media sosial dirakam seorang wanita di sebuah stesen minyak di Daerah Deli Serdang. Terdapat beberapa pemandu lain berhampiran wanita itu.
"Nasib saya, pagi-pagi tersilap isi minyak. Semua ini mangsa. Kenderaan rosak teruk selepas isi minyak," kata wanita itu.
Seorang pemandu bernama Hendri berkata, dia mengisi minyak di stesen minyak tersebut sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) semalam. Selepas memandu sejauh 100 meter, motosikalnya tiba-tiba mati.
Setelah membawa motosikalnya ke sebuah kedai, dia diberitahu bahawa kerosakan itu berlaku kerana kesilapan mengisi minyak diesel. Kesilapan itu juga berlaku kepada beberapa pemandu lain.
"Ada banyak, ada kereta, becak," kata Hendri.
Seorang lagi penduduk bernama Triono turut mengalami perkara yang sama. Dia mengaku mengisi minyak sekitar jam 10.00 pagi (waktu tempatan). Selepas mengisi, motosikalnya mula gagal berfungsi.
"Saya mengisi lebih kurang jam 10 pagi. Selesai mengisi, motor mengeluarkan bunyi klotok-klotok yang tinggi. Kemudian ia tidak dapat dihidupkan. Saya menolak hingga ke rumah dan cuma membaikinya dengan menggantikan palam pencucuh, namun ia tetap gagal dihidupkan," ujar Triono.
Dia mengaku tidak segera membawa motosikalnya ke kedai pembaikan. Selepas melihat kejadian itu tular di media sosial, dia segera pergi ke stesen minyak.
Seorang pemandu lori bernama Adi mengalami perkara yang sama. Dia mengakui pada mulanya dia ingin mengisi minyak diesel, tetapi kemudian dia mendapati minyak yang diisinya di dalam keretanya adalah pertalite.
"Saya nak isi minyak diesel, bila saya periksa rupa-rupanya Pertalite," kata Adi.
Pihak pengurusan stesen minyak tersebut kemudian bersetuju untuk membaiki semua kenderaan yang rosak. - Sumber Detiksumut.
EmoticonEmoticon