Sabtu, 10 Februari 2024

Nenek gigih jaga 4 cucu termasuk seorang OKU 'dibuang' ibu kandung


Demi kasih sayang, seorang nenek mengambil alih tugas membesarkan empat cucu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) selepas mereka menjadi mangsa pengabaian ibu kandung.


Harian Metro semalam melaporkan, warga emas itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam, 68, menjaga empat cucunya berusia, 11, 10, enam dan tujuh bulan.


Menurutnya, dia tidak sanggup melihat cucunya berdepan pelbagai kesukaran hidup akibat perbuatan tidak bertanggungjawab anaknya yang melakukan pengabaian terhadap mereka sejak kecil lagi.


"Anak perempuan saya terbabit dengan penagihan dadah dan dia juga bergelumang dengan masalah sosial.


"Cucu sulung ditinggalkan di rumah mereka di Ipoh, Perak selepas dilahirkan. Demikian juga dengan dua lagi cucu.


"Cucu keempat diserahkan kepada saya oleh pihak mahkamah di Ipoh selepas ibunya disabitkan kes penderaan dan pengabaian anak," katanya ditemui di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Johor Bahru, semalam.


Menurutnya, cabaran dan ujian terbesar dihadapinya ketika ini adalah cucu keempat dilahirkan dengan masalah sumbing bibir dan lelangit dan memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.


Menurutnya, buat masa ini dia menampung kos ulang-alik ke hospital, keperluan dan persekolahan cucu menggunakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal RM1,000 sebulan.


"Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang cuci dan menjual cendol namun kini dia tidak mampu bekerja selepas mengalami kecederaan kaki akibat kemalangan selepas diragut penjenayah empat tahun lalu.


Terdahulu ibu tunggal itu menerima kunjungan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan.


Mas Imran berkata, bantuan barang basah, keperluan asas, susu dan lampin pakai buang bernilai RM1,100 bagi meringankan beban Normah.


"Kami akan membantu anak-anak ini menyediakan pakaian dan kelengkapan sekolah mereka selain membantu membersihkan rumahnya demi keselesaan mereka," katanya.


Nenek menjaga empat cucu yang ditinggalkan ibu kandung mereka. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon