Masalah hutang melibatkan urusan jual beli aksesori wanita dipercayai menjadi punca pertengkaran melibatkan sekumpulan individu di kawasan perumahan Taman Saujana, Klang pada 16 Februari lalu.
Bagaimanapun, kejadian yang dipercayai telah diselesaikan secara baik itu dikesan tular semula di media sosial pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita tempatan.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemilik kedai pergi ke rumah individu yang dipercayai berhutang dengannya untuk menuntut semula bayaran.
"Rentetan itu telah berlaku pertengkaran mulut melibatkan beberapa individu termasuk mereka yang tidak mengetahui perkara sebenar itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, pemilik kedai terbabit kemudiannya menjelaskan permasalahan yang dihadapi sebelum kesemua mereka bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan baik.
"Ekoran daripada itu, pihak yang terlibat telah membuat laporan polis sebelum kesemua mereka kemudiannya telah diambil keterangan berhubung kejadian.
"Lanjutan kes ini, kesemua individu terlibat telah bersepakat untuk menyelesaikan kes terbabit secara baik tanpa mengambil sebarang tindakan undang-undang," katanya.
Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, semakan mendapati kejadian pertengkaran sebelum itu telah dirakam secara langsung menerusi Facebook.
"Video terbabit kemudiannya kini dikesan telah ditularkan semula di media sosial yang lain.
"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak menularkan video ini dalam media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.
Pada Sabtu, tular video di media sosial memaparkan pertengkaran melibatkan sekumpulan individu di sebuah kawasan taman perumahan di Klang.
EmoticonEmoticon