Isnin, 5 Februari 2024

Diumpan keuntungan lumayan dalam masa singkat, lelaki akhirnya rugi RM521,000


Seorang pembantu kedai alat ganti kenderaan yang diumpan dengan keuntungan RM1,000 melalui pelaburan berjumlah RM50,000 akhirnya berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM521,000 lesap selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 31 Disember lalu selepas mangsa lelaki berumur 39 tahun di Bentong menyertai satu skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus di Facebook.


"Pada peringkat awal mangsa berjaya mengeluarkan keuntungan RM1,000 selepas membuat pelaburan berjumlah RM50,000.


"Dalam tempoh 25 Januari hingga 3 Februari lalu, mangsa memindahkan wang berjumlah RM521,000 dengan melakukan 15 transaksi ke dalam empat akaun yang diberikan.


"Mangsa menyedari dia ditipu setelah gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1,767,258 melalui laman web tersebut," katanya hari ini, 5 Februari.


Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bentong selepas merasakan dirinya ditipu.


Difahamkan, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanannya, namun turut menggunakan wang dipinjam daripada ahli keluarga yang turut lesap disebabkan keghairahannya untuk menjadi kaya dengan segera.


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan.


EmoticonEmoticon