Rabu, 31 Januari 2024

Cuba rembat 14 tandan kelapa sawit guna Kancil, remaja berusia 19 tahun ditahan


Hajat seorang remaja 'merembat' 14 tandan kelapa sawit menggunakan kereta jenis Perodua Kancil tidak kesampaian apabila lelaki itu berjaya ditahan orang awam di Felcra Banggol Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu pada Selasa lalu, 30 Januari.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, susulan itu pihaknya telah membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 19 tahun itu kira-kira jam 8 pagi pada hari yang sama di lokasi terbabit.


Menurutnya, selain tangkapan terhadap suspek, polis turut merampas 14 tandan kelapa sawit bersama kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.



"Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan suspek direman selama empat hari bermula Selasa.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan polis meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat jenayah ke balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Tambahnya, tindakan remaja terbabit mencuri kelapa sawit berjaya dihidu pekebun sebelum ditahan dan diserahkan kepada anggota polis.


Kereta Perodua Kancil yang digunakan suspek untuk mencuri buah kelapa sawit. - Foto IPD Hulu Terengganu.


EmoticonEmoticon