Seorang wanita warga Jepun melarikan sebuah trak pikap yang digunakan sebagai ambulans ketika anggota kecemasan bergelut memberi rawatan kepada pesakit, lapor laman berita Thaiger pada 18 Februari 2024.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi (waktu tempatan) kelmarin, wanita berkenaan mencuri trak pikap yang diletakkan di hadapan Balai Polis Lumpini.
Ketika kejadian, sukarelawan daripada Yayasan Ruamkatanyu, Pisut Chukleang sedang memberi rawatan awal kepada seorang lelaki warga asing yang cedera berhampiran balai polis berkenaan.
Enjin trak pikap yang digunakan sebagai kenderaan kecemasan itu dibiarkan hidup dan tidak berkunci.
Namun, sejurus selesai prosedur bantuan kecemasan, Pisut terkejut apabila mendapati kenderaan dinaikinya telah dicuri, lalu dia membuat laporan polis.
Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan suspek, manakala kenderaan yang dilarikan dipintas berdekatan bulatan Bang Yi Ruea.
Selepas ditangkap, wanita itu berkomunikasi dalam bahasa Jepun kerana tidak tahu berbahasa Thai. Polis memerlukan jurubahasa untuk membantu soal siasatnya.
Pihak berkuasa membawanya kembali ke Balai Polis Lumpini untuk menilai lebih lanjut sama ada dia mengalami sebarang masalah kesihatan mental, kerana jawapannya terhadap soal siasat adalah tidak menentu dan tidak meyakinkan. - Sumber The Thaiger.
EmoticonEmoticon