Seorang pelancong Perancis yang pertama kali melawat Taman Negeri Kawah Berlian di Arkansas, Amerika Syarikat (AS), bertuah apabila menemui berlian asli 7.46 karat.
Taman Negeri Arkansas memaklumkan, Julien Navas dari Paris melancong ke AS untuk melihat pelancaran Roket Vulcan Centaur United Launch Alliance di Cape Canaveral, Florida, sebelum akhirnya ke New Orleans bersama seorang rakan.
Ketika di Louisiana, Navas mengetahui mengenai Taman Negeri Kawah Berlian dan memutuskan untuk melawat taman itu sebelum meninggalkan AS.
"Saya sampai ke taman itu kira-kira 9 pagi dan mula menggali. Mulanya saya rasa seperti buang masa, tetapi memasuki tengah hari, saya tengok ada batu berkilat di tanah saya gali.
"Rupanya ia berlian warna coklat 7.46 karat. Saya sangat gembira," katanya.
Navas menamakan berlian itu sebagai Berlian Carine, sempena nama tunangnya dan merancang untuk memotong batu itu menjadi dua bahagian, satu untuk tunangnya dan satu lagi untuk anak perempuannya.
Penolong Penguasa Taman Waymon Cox berkata, Navas menemui berlian itu semasa meninjau kawasan pencarian seluas 37.5 ekar pada 11 Januari, tuahnya mungkin turut dipengaruhi cuaca yang kerap hujan, baru-baru ini.
"Kami secara berkala membajak kawasan pencarian untuk menggemburkan tanah yang berisi berlian dan menggalakkan hakisan semula jadi.
"Apabila hujan di kawasan padang, ia membasuh kotoran dan mendedahkan batu berat, mineral dan berlian pada permukaan," katanya. - Sumber New York Post.
EmoticonEmoticon