Seorang pengumpul peralatan ketenteraan menyuarakan rasa kesal kerana memulangkan jongkong emas bernilai £2 juta (RM11.7 juta) yang ditemui di dalam sebuah kereta kebal yang dibelinya, lapor akhbar Daily Star pada 3 Januari 2024.
Nick Mead berkata, dia tidak menerima sebarang bayaran sebaliknya, jongkong emas itu hanya disimpan di dalam peti keselamatan deposit di London.
Mead menemui barang berharga itu pada 2017 apabila dia membeli kereta kebal Type 69 yang pernah digunakan oleh tentera Iraq daripada laman e-dagang, eBay.
"Saya amat menyesal kerana menyerahkannya (jongkong emas). Saya sepatutnya meminta sedikit bayaran kerana menemuinya, namun sesen pun tidak dibayar," katanya.
Kenderaan itu telah dipulihkan oleh pemilik sebelumnya Joe Hewes, 23, yang menggantikan trek dan membetulkan enjinnya tanpa pernah menemui harta rampasan berharga di dalamnya. Dipercayai jongkong emas itu dirompak semasa pencerobohan Kuwait pada 1990.
"Apabila kami menemui jongkong emas kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya. Ia tidak seperti anda boleh membawa lima jongkong emas ke kedai pajak gadai. Jadi kami menghubungi polis.
"Emas mempunyai cap jari. Mereka tahu di mana ia telah dilombong. Ia pasti dicuri dari Kuwait," kata Mead.
Menurut Mead, dua pegawai Polis Northamptonshire mengambil jongkong emas itu untuk melakukan siasatan dan hanya memberikan sekeping resit kepadanya.
Adalah dipercayai siasatan akan dibuat di Kuwait untuk melihat sama ada emas itu boleh dipadankan dengan mana-mana jongkong yang dicuri semasa pencerobohan Iraq pada Ogos 1990.
Lelaki berusia 62 tahun itu berkata, dia tidak tahu keadaan terkini barangan tersebut, namun menganggap polis masih cuba menjejaki pemiliknya.
Mead membeli kereta kebal itu untuk menambah koleksi 300 kenderaan tenteranya yang digelar Tanks-a-Lot di ladangnya di Helmdon, Northamptonshire. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon