Khamis, 25 Januari 2024

Remaja dibelasah bapa kerana bongkar pernah dirogol suspek


Remaja perempuan yang ditendang dan dipukul bapanya sehingga mendapat 12 jahitan pada kepala, kelmarin, dipercayai turut menjadi mangsa rogol suspek.


Difahamkan, perkara itu menjadi punca lelaki berusia 47 tahun itu mengamuk, selepas mangsa yang berusia 17 tahun menceritakan kejadian itu kepada teman wanita suspek yang tinggal serumah dengan mereka.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, hasil temubual dan pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa pernah dirogol.


"Selepas mendapat rawatan awal di Hospital Tampin, mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. Hasil temubual dengan doktor yang merawatnya, mangsa memberitahu dia pernah dirogol bapanya.


"Difahamkan, mangsa dipukul kerana bapanya tidak berpuas hati susulan remaja itu memberitahu kejadian itu kepada teman wanita suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, kejadian berlaku pada 12 November tahun lalu ketika hanya mangsa dan suspek berada di rumah, kira-kira 2 petang.


"Suspek dikatakan masuk ke bilik mangsa dan merogolnya selain mengugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa," katanya.


Hazri berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai perubatan Bahagian Obstetrik dan Ginekologi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mendapati terdapat kesan koyakan lama di bahagian hymen pesakit.


Ujar Hazri lagi, mangsa yang merupakan anak pertama dari empat adik-beradik, tinggal bersama neneknya di Rantau, Seremban sejak usia empat tahun setelah perceraian bapa dan ibunya dan tinggal bersama bapanya itu sejak Jun 2022.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan, Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan," katanya.


Media semalam melaporkan remaja perempuan berusia 17 tahun dimasukkan ke hospital selepas ditendang dan dipukul dengan pelbagai objek oleh bapanya sehingga menerima 12 jahitan pada kepala, tengah malam kelmarin.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru itu, dipercayai berlaku ketika suspek berusia 47 tahun dalam keadaan mabuk.


BACA: Bapa mabuk tendang, pukul anak perempuan guna kerusi hingga kena 12 jahitan.


EmoticonEmoticon