Khamis, 18 Januari 2024

Penumpang terkurung dalam tandas pesawat sepanjang penerbangan


Seorang penumpang di India dilaporkan terperangkap di dalam tandas pesawat sepanjang tempoh penerbangannya, lapor portal berita Independent pada 17 Januari 2024.


Lelaki itu menaiki pesawat milik SpiceJet dalam penerbangan dari Mumbai ke Bengaluru pada hari Selasa. Dia pergi ke tandas sebaik sahaja selepas pesawat berlepas.


Selepas selesai menggunakan tandas, lelaki itu gagal membuka pintu dan meminta pertolongan kakitangan penerbangan untuk membuka kunci dari luar, namun usaha mereka gagal.


Kakitangan penerbangan itu dilaporkan cuba berkomunikasi dengan mangsa dengan menyelit nota di bawah pintu tandas.


Penumpang itu digesa 'tidak panik' selepas percubaan mereka untuk membuka kunci pintu gagal.


"Pesawat ini sedang bersedia untuk mendarat dalam beberapa minit, jadi sila tutup penutup commode dan duduk di atasnya, selamatkan diri anda," kata dalam nota itu.


Penumpang itu akhirnya dibebaskan selepas pesawat mendarat di lapangan terbang Bengaluru setelah menamatkan perjalanan selama satu jam 45 minit.


Syarikat penerbangan SpiceJet memohon maaf atas kejadian itu dan berkata, penumpang berkenaan akan mendapat bayaran balik tambangnya.


"Pada 16 Januari, malangnya seorang penumpang terperangkap di dalam tandas selama kira-kira sejam dalam penerbangan SpiceJet yang beroperasi dari Mumbai ke Bengaluru kerana kerosakan pada kunci pintu.


"Sepanjang perjalanan, anak kapal kami memberikan bantuan dan bimbingan kepada penumpang. Sebaik tiba, seorang jurutera membuka pintu tandas, dan penumpang menerima sokongan perubatan segera," kata kenyataan syarikat penerbangan itu.


Insiden itu berlaku pada masa penerbangan di India bergelut dengan beberapa insiden di tengah-tengah kelewatan dan pembatalan penerbangan.


Keadaan menjadi lebih teruk apabila kabus tebal yang dicetuskan oleh gelombang sejuk menyelubungi bahagian utara India, mengganggu penerbangan. - Sumber Independent.


BACA: Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang.


EmoticonEmoticon