Khamis, 11 Januari 2024

Nyawa melayang selepas sering larang isteri rakam video Instagram Reels, TikTok


Seorang wanita di negeri Bihar, India ditahan kerana disyaki merancang pembunuhan suaminya selepas mangsa sering melarang dia merakam video untuk dimuat naik di Instagram Reels, lapor laman berita India Today pada 9 Januari 2024.


Menurut polis, suspek yang dikenali sebagai Rani Kumari, merancang komplot itu bersama kekasih gelap, Mohammad Sajjad serta dua saudara perempuannya, Rozi dan Sonali Kumari.


Rani dikatakan obses merakam video untuk dimuat naik di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Bagaimanapun, mangsa, Maheshwar Kumar Rai, 25, tidak menyukai sikapnya itu.


Pasangan itu sudah berkahwin hampir tujuh tahun. Maheshwar pernah bekerja sebagai buruh di Kolkata, dan baru-baru ini pulang ke rumah untuk bertemu isterinya.


Dia mendapati isterinya terobsesi untuk membuat banyak video di platform media sosial, yang tidak disukai dan ditentang oleh Maheshwar, menyebabkan mereka sering bertengkar mengenai perkara tersebut. 


Dalam kejadian malam Ahad lalu sekitar 9 malam, Rani dikatakan mengajak Maheshwar pergi ke rumah iparnya sebelum membunuh lelaki itu dengan mencekiknya.


Jenayah itu terbongkar sekitar jam 10.30 malam apabila abang mangsa, Rudal, menelefonnya dari Kolkata, namun panggilan tersebut dijawab oleh individu lain.


Mengesyaki sesuatu yang tidak kena ketika bercakap di telefon, Rudal meminta bapanya pergi ke kampung Fafout di negeri Bihar bagi memastikan keadaan mangsa.


Bapa mangsa yang tiba di rumah berkenaan terkejut apabila menemui mayat anaknya sebelum dia membuat laporan polis.


Berdasarkan aduan, polis membuka kertas siasatan ke atas lima individu. Rani dan dua saudara perempuannya telah ditahan untuk disoal siasat, manakala dua individu lain masih diburu. - Sumber India Today.


Rani obses merakam video untuk dimuat naik di platform-platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. - Foto Aaj Tak.


EmoticonEmoticon