Penyelidik di Massachusetts Institute of Technology (MIT) mencipta pil berteknologi tinggi yang mampu bergetar apabila bersentuhan dengan cecair gastrik dalam perut bagi mencipta sensasi rasa kenyang segera kepada pengguna.
Pil Simulator Bioelektrik Bergetar Boleh Ditelan (Vibes) diperkenalkan melalui kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Sains, tetapi sudah mula disebut-sebut oleh media sebagai inovasi teknologi penurunan berat badan masa hadapan.
Walaupun ia masih belum diuji ke atas manusia, ujian ke atas babi dilaporkan membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Selepas kira-kira 30 minit aktiviti Vibes, pengambilan makanan babi tersebut dilaporkan berkurangan lebih 40 peratus berbanding tanpa pil pintar itu.
Pil tersebut merupakan hasil cetusan idea bekas pelajar siswazah MIT, Shriya Srinivasan, pengarang utama kajian baharu itu, yang kini memegang jawatan Penolong Profesor Kejuruteraan Bio Universiti Harvard.
"Peranti revolusi ini berfungsi dengan mengaktifkan reseptor regangan dalam perut, meniru kehadiran makanan.
"Langkah ini mampu memberi isyarat kepada hipotalamus untuk meningkatkan tahap hormon yang membuatkan kita berasa kenyang.
"Pil Vibes sesuai ditelan ketika perut kosong 20 atau 30 minit sebelum waktu makan untuk mencetuskan sensasi kenyang yang diingini. Pil yang dikuasakan oleh bateri ini kemudian akan dikeluarkan dari badan bersama sisa pepejal lain melalui tinja," jelas laporan kajian itu.
Ahli Gastroenterologi Brigham and Women’s Hospital yang juga pengarang bersama kajian itu, Giovanni Traverso berkata, peranti tersebut berpotensi merevolusikan pilihan terapeutik untuk pesakit yang mengalami obesiti.
Namun kajian masa depan diperlukan untuk meneroka kesan fisiologinya sebelum diberikan kepada pesakit. - Sumber New York Post.
EmoticonEmoticon