Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui dalam keadaan berbungkus dan disumbat di dalam peti ais sebuah rumah di wilayah Nonthaburi semalam, 6 Januari, lapor akhbar Thaiger.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun, yang merupakan penjaga sah mangsa. Ibu bapa kanak-kanak itu dipenjarakan akibat kes dadah (penagih dadah).
Pegawai dari Balai Polis Bang Bua Thong, pegawai Yayasan Ruamkatanyu, bersama doktor dari Institut Sains Forensik memeriksa sebuah rumah bandar dua tingkat di Mukim Bang Rak Phatthana, Daerah Bang Bua Thong, Wilayah Nonthaburi, selepas dimaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia di rumah tersebut.
Apabila memeriksa bahagian dalam peti sejuk, mayat seorang budak lelaki berusia dua tahun ditemui dibalut dengan selimut, diletakkan dalam beg kain, dan disumbat ke dalam peti sejuk.
Mejar Jeneral Polis Apichart Wannapak, Timbalan Komander Polis Wilayah 1, mendedahkan bahawa nenek pemilik rumah adalah orang yang memaklumkan kepada polis kerana kanak-kanak itu telah hilang dan bau busuk mula memenuhi rumah.
Ketika disoal siasat, suspek yang dikenali sebagai Marisa Thong-iam berkata, pada 2 Januari lalu, dia tidur bersama mayat mangsa ketika menunggu suaminya, Harnnarong Praipanom, 31, pulang ke rumah.
Mayat kanak-kanak tersebut ketika itu dikatakan dihurung semut, manakala tangan dan mulutnya dipenuhi dengan nasi pulut.
Suspek memberitahu polis bahawa mangsa meninggal dunia akibat tercekik pulut ketika makan. Disebabkan takut, suspek dengan dibantu suaminya membalut mayat mangsa menggunakan kain, menyumbatnya di dalam beg pakaian dan memasukkannya ke dalam peti sejuk, lapor akhbar Bangkok Post.
Pol Kol Preut Chamroonsart, ketua balai polis Bang Bua Thong di Nonthaburi, hari ini berkata bedah siasat oleh Hospital Universiti Thammasat mendapati kanak-kanak itu maut tercekik dengan nasi pulut di kerongkong.
Marisa Thong-iam, dan suaminya, Harnnarong Praipanom, didakwa atas tuduhan menyembunyikan mayat dan gagal melaporkan kematian.
Harnnarong Praipanom adalah pemilik rumah itu dan cucu kandung kepada seorang lelaki cacat penglihatan berusia 70 tahun yang turut tinggal di rumah tersebut.
Datuk itu, Somboon Praipanom, memberitahu polis bahawa pada pagi 2 Januari lepas, dia memberi makan kepada budak lelaki itu dengan beras pulut dan pisang.
Kemudian dia mendengar budak lelaki itu berlari ke sebuah bilik di rumah itu dan dia tidak pernah mendengar apa-apa bunyi daripada budak itu lagi. - Sumber The Thaiger, Bangkok Post.
EmoticonEmoticon