Selasa, 23 Januari 2024

Lelaki dijel 16 bulan selepas kongsi rakaman berlumba kereta


Seorang lelaki di Britain dijatuhi hukuman penjara selepas berkongsi rakaman video di media sosial yang memaparkan dia berlumba kereta di jalan raya, lapor akhbar Daily Star pada 22 Januari 2024.


Umar Gul, 24, dihukum penjara 16 bulan selepas memuat naik sebuah klip video yang menunjukkan dia memandu pada kelajuan 241 kilometer sejam.


Video itu dirakam oleh seorang rakan Gul yang berada di tempat duduk belakang Mercedes C63 ketika kereta itu dipandu dua kali ganda melebihi had laju.


Sebuah kereta Audi RS3 berwarna merah turut terlibat dalam perlumbaan tersebut. Dua kereta itu dilihat memecut laju di jalan raya selepas melepasi lampu isyarat.


Selepas menerima aduan, satu dokumen bukti kes dikumpul oleh Unit Siasatan Data Kenderaan Polis Lancashire.


Selain rakaman tersebut, terdapat beberapa bukti lain yang menunjukkan bahawa Gul turut memandu kereta Nissan GTR dan BMW M135i secara berbahaya.


Gul kemudian mengaku bersalah atas lima pertuduhan memandu secara berbahaya dan dipenjarakan di Mahkamah Diraja Preston pada 11 Januari lalu.


Berikutan hukuman itu, PC Polis Lancashire, Simon Grounds berkata bahawa pasukannya berniat untuk mengejar pemandu yang menggunakan jalan raya secara berbahaya dan membahayakan nyawa orang lain.


"Umar Gul meletakkan dirinya dan orang lain dalam bahaya melalui pemanduannya yang berbahaya dan saya mengalu-alukan hukuman penjara ini," katanya. - Sumber Daily Star.


Dua kereta itu dirakam memecut melebihi had laju di jalan raya. - Polis Lancashire/ SWNS.


EmoticonEmoticon