Seorang lelaki di Bogor, wilayah Jawa Barat membelasah tunangnya menggunakan topi keledar selepas mendapati mangsa masih menyimpan gambar bekas kekasihnya, lapor portal berita Okezone pada 3 Januari 2024.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bogor, Asisten Komisioner Luthfi Olot, suspek telah ditahan dan mengakui perbuatannya.
"Kami dari Polis Kota Bogor menahan suspek di kediamannya. Setelah kami membawanya ke pejabat dia mengakui perbuatannya.
"Insiden berlaku disebabkan suspek cemburu kerana mangsa masih menyimpan gambar bekas teman lelakinya.
"Dia kemudian memukul mangsa menggunakan topi keledar sehingga terkena pada kelopak matanya. Mangsa cedera akibat kejadian itu," kata Luthfi.
Tambah Luthfi, suspek menjelaskan bahawa dia menyesali perbuatannya, manakala kes tersebut dianggap telah selesai selepas kedua-duanya berdamai.
"Mereka berdamai kerana sudah bertunang dan akan berkahwin dalam waktu terdekat," ujarnya.
Sebelum ini tular di media sosial sebuah video seorang wanita yang disyaki menjadi mangsa keganasan oleh kekasihnya di kawasan Kota Bogor pada Selasa 2 Januari 2024.
Dalam video yang tular itu, anda boleh melihat seorang lelaki memakai topi keledar didatangi penduduk. Di lokasi itu juga terdapat seorang wanita yang sedang menangis dan menjerit histeria.
Dapat dilihat wanita itu mengalami kecederaan di mata yang berdarah. Disyaki luka itu disebabkan oleh lelaki tersebut. - Sumber Okezone.
EmoticonEmoticon