Ahad, 14 Januari 2024

Lelaki ada 13 rekod jenayah maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis


Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Puchong Prima hari ini adalah individu dikehendaki polis yang mempunyai 13 rekod lampau.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek adalah seorang lelaki tempatan mempunyai tujuh rekod jenayah, enam rekod kesalahan narkotik dan satu rekod dikehendaki.


Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian berbalas tembakan antara suspek dan anggotanya di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima kira-kira jam 3.49 petang, hari ini.


Katanya, laporan terbabit dibuat oleh anggota bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya.


"Siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya.


"Polis juga terkesan satu rakaman video berkait kejadian ini tular di media sosial, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video berkenaan bagi mengelak kegusaran masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, penduduk sekitar kawasan Jalan Puchong Prima 3 gempar apabila bunyi letupan kedengaran dipercayai susulan kejadian tembakan tersebut.


Satu klip video berdurasi 39 saat memaparkan beberapa lelaki menjerit lalu kedengaran bunyi dipercayai tembakan dilepaskan.


Mengulas lanjut Hussein meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil bagi membantu siasatan.


Anggota forensik berada di lokasi selepas kejadian berbalas tembakan petang tadi. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon