Seorang wanita memandu keretanya melalui sebuah jambatan gantung yang dikhaskan hanya untuk motosikal dan pejalan kaki kerana menurut arahan daripada Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), lapor portal berita The Pattaya News pada 29 Januari 2024.
Kejadian berlaku pada pukul 5.40 petang (waktu tempatan) pada 28 Januari apabila seorang penduduk dikenali sebagai Makun Inchan, 38, cuba menyeberangi jambatan gantung tersebut yang merentasi Sungai Yom di Wiang Thong, Thailand.
Dia terkejut kerana mendapati terdapat sebuah kereta sedan Honda City berwarna putih tersadai di atas jambatan sepanjang 120 meter itu.
Selepas mendengar rayuan pemandu wanita itu untuk mendapatkan bantuan, Makun segera menghubungi pasukan kecemasan.
Kereta itu tersangkut sejauh 15 meter dan satu tayarnya tersepit di celah kayu jambatan. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan dua traktor untuk menarik kereta mangsa dari jambatan tersebut.
Menurut wanita itu, dia menggunakan GPS dan mengikut maklumat laluan yang diberikan untuk pergi menemui rakannya di Sung Men.
Dia mendedahkan bahawa dia tidak pernah berada di kawasan itu sebelum ini, jadi dia hanya bergantung pada sistem GPS untuk pergi ke lokasi yang dihantar rakannya kepadanya. - Sumber The Pattaya News.
EmoticonEmoticon