Selasa, 2 Januari 2024

Janda cantik tipu wang tukang mozek RM29,000


Seorang tukang mozek mengalami kerugian kira-kira RM29,000 selepas terpedaya dengan seorang janda melalui satu sindiket jual beli barang online.


Foong Mun Fei, 42 berkata, dia mengenali janda terbabit pada 5 Disember lalu melalui media sosial Facebook sebelum melanjutkan perbualan mereka di dalam aplikasi WhatsApp.


Katanya, janda yang dikenali sebagai Xue itu pada awalnya ingin berkenalan dengan Foong untuk mencari teman hidup selepas bercerai dengan suaminya.


Bagaimanapun, seminggu selepas perkenalan mereka, menerusi WhatsApp, Xue telah menunjukkan kepada Foong satu tangkap layar aplikasi Ubei (Engoogo.com) memberitahu dia telah memasukkan wang sebanyak RM30,000 di dalam aplikasi itu.


"Xue telah meyakinkan saya jika saya membeli barang berupa jam tangan dan barang kemas, saya akan memperolehi keuntungan daripada barangan yang saya beli.


"Pada mulanya saya memasukkan wang sebanyak RM1,000 dan dari situ saya telah ditunjukkan di dalam aplikasi itu saya telah memperoleh keuntungan RM250.


"Kemudian saya telah memasukkan wang sebanyak RM25,000 dan kali ketiga sebanyak RM3,000 namun saya gagal mendapatkan kembali kesemua wang saya dan keuntungan yang dinyatakan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, hari ini.


Mun Fei juga memberitahu, dia melakukan tiga kali transaksi wang ke tiga akaun berbeza sebelum menyedari tertipu dan kehabisan wang simpanan.


"Saya lihat nombor telefon WhatsApp masih aktif namun apabila saya cuba menghubungi Xue, dia tidak membalas dan menjawabnya.


"Saya membuat laporan polis pada 25 Disember lalu dan berharap agar pihak polis dapat melakukan siasatan berkaitan kes ini selain turut menasihatkan kepada orang ramai agar tidak turut menjadi mangsa penipuan sebegini," katanya.


Sementara itu, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pihaknya sudah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bagi menangani masalah sindiket penipuan yang semakin berleluasa.


"Kita minta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan dalam masa sama menasihatkan mana-mana pemilik akaun agar tidak terpedaya dan tidak meminjamkan akaun mereka kepada pihak lain kerana bimbang akan disalahgunakan untuk aktiviti penipuan ini," katanya.


Foong Mun Fei (kanan) bersama ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dan Wakil MHO, Daniel Khoo menunjukkan salinan aplikasi WhatsApp dan Ubei yang digunakan seorang janda bagi memperdaya Foong sehingga kerugian RM29,000. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon