Pempengaruh dari Lahore, Pakistan, Nouman Hassan menggemparkan laman sosial selepas memuat naik rakaman video seorang kanak-kanak lelaki membawa seekor harimau yang dirantai berjalan mengelilingi sebuah rumah.
Portal NDTV pada 2 Januari 2024 melaporkan, video itu meraih 36.5 juta tontonan dan 1.7 juta tanda suka dalam tempoh lima hari selepas dimuat naik hingga segelintir netizen mengecam tindakannya yang dianggap membahayakan.
Walaupun pada mulanya harimau itu nampak tenang namun haiwan berkenaan dilihat tiba-tiba agresif menyebabkan kanak-kanak terbabit ketakutan.
Bagaimanapun, seorang lelaki dengan pantas memegang kayu sebagai ancaman kepada haiwan berkenaan.
Difahamkan, Nouman kerap memuat naik video koleksi haiwan peribadinya, termasuk harimau, ular dan buaya.
Walaupun Nouman tidak memberitahu siapa kanak-kanak berkenaan namun beberapa pengguna laman sosial membuat andaian itu adalah anak saudaranya.
Selain harimau, Nouman juga memelihara singa yang diperolehnya daripada lelongan oleh Zoo Safari Lahore pada Ogos tahun lalu.
Zoo itu melelong puluhan singa dan harimau untuk mengosongkan ruang dan mengurangkan perbelanjaan untuk daging.
Nouman berkata, ketika itu, dia membeli hingga tiga ekor singa sambil menambah lelongan yang dijalankan adalah inisiatif baik untuk mempelbagaikan kumpulan gen untuk pengumpul persendirian yang sudah memiliki harimau.
Nouman dan pemilik lain harimau berkongsi gambar dan video haiwan peliharaan mereka di laman sosial dan menawarkan perkhidmatan sewaan untuk tayangan filem dan sesi bergambar. - Sumber NDTV.
EmoticonEmoticon