Selasa, 16 Januari 2024

Berang pesawat lewat, seorang penumpang lelaki tampar juruterbang


Seorang penumpang syarikat penerbangan India, IndiGo Airlines, ditahan kerana menampar juruterbang selepas berang apabila pesawat itu lewat berlepas akibat cuaca buruk, lapor media India.


Menurut Hindustan Times, Insiden itu berlaku pada 14 Januari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.


Pesawat itu, dijadualkan terbang dari Indira Gandhi ke Goa, lewat 13 jam kerana kabus tebal menyelubungi kawasan besar di bahagian utara India.


Lebih 100 penerbangan ditangguhkan di Delhi, pada 14 Januari lalu, tetapi ia kembali beroperasi pagi keesokannya.


Video dimuat naik oleh pengguna Instagram (IG) @EvgeniaBelskaia pada hari kejadian menunjukkan juruterbang membuat pengumuman apabila seorang penumpang memakai hoodie kuning meluru laju ke arahnya.


Penumpang itu menghayun tangannya dan menampar juruterbang, menyebabkan lelaki itu terjatuh ke belakang.


Dua pramugari kemudian bergegas untuk menghentikan tindakan penumpang daripada menyerang juruterbang, dengan seorang kedengaran berkata: "Tuan, kamu tidak boleh melakukan ini!"


Seorang lagi penumpang memakai hoodie biru kelihatan menahan penumpang yang berang, menenangkannya dan berjalan bersamanya.


Indian Express melaporkan bahawa penumpang terbabit telah ditahan selepas Syarikat Penerbangan IndiGo memfailkan aduan terhadapnya.


Menurut polis, siasatan dijalankan dan lelaki itu mungkin dihukum kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


Sementara itu, IndiGo juga membentuk jawatankuasa dalaman untuk menangani insiden itu dan mungkin mempertimbangkan untuk meletakkan nama penumpang terbabit pada senarai larangan terbang.


Menurut laman web penerbangan Flightradar24, sekurang-kurangnya 168 penerbangan dijadualkan berlepas dari bandar tersebut ditangguhkan, manakala 56 yang lain dibatalkan pada pagi 15 Januari.


Selain perkhidmatan penerbangan, sekurang-kurangnya 18 kereta api ke bandar ini dari pelbagai kawasan di India juga tertangguh akibat kabus tebal. - Sumber The Straits Times.


Gambar tular menunjukkan insiden berkenaan. - Foto The Straits Times.


EmoticonEmoticon