Rabu, 17 Januari 2024

2 sekawan maut terhidu karbon dioksida ketika cari kabel, besi untuk dijual


KOTA KINABALU - Hasrat dua sekawan mencari kabel dan besi untuk dijual di kondominium terbengkalai di Jalan Istiadat, Likas, di sini, berakhir tragedi apabila kedua-duanya ditemui meninggal dunia, pagi tadi.


Mayat lelaki dan wanita masing-masing berusia 43 tahun itu ditemukan di sebuah bilik penyimpanan tong gas dipercayai akibat terhidu karbon dioksida.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu pada 9.30 pagi.


Katanya, saksi memaklumkan dua mangsa adalah kenalannya dan mangsa wanita itu tinggal serumah dengannya.


"Pada 2 pagi tadi, kedua-dua mangsa memberitahu saksi, mereka ke bangunan berkenaan bagi mencari kabel dan besi untuk dijual.


"Setengah jam selepas itu, anak mangsa yang dijaga saksi menangis dan dia cuba untuk menghubungi salah seorang mangsa, tetapi telefon bimbit gagal dihubungi.


"Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, saksi bersama seorang lagi rakan ke bangunan itu untuk mencari mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam bilik penyimpanan tong gas yang terkunci, menyebabkan saksi terus ke Pondok Polis Likas untuk laporan.


"Sepasukan bomba turut dipanggil bagi membuka pintu bilik dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut," katanya.


Mohd Zaidi berkata, siasatan di tempat kejadian dilakukan dengan pasukan bomba dan hospital tidak menolak kemungkinan mangsa maut akibat terhidu gas karbon dioksida.


Katanya, pihaknya tidak menemui unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut.


Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bilik penyimpanan tong gas dipercayai akibat terhidu gas karbon dioksida. - Foto JBPM Sabah.


EmoticonEmoticon