Ahad, 24 Disember 2023

Suami bakar rumah selepas berang isteri minta cerai


Satu keluarga menjadi mangsa kebakaran di dalam rumah akibat perbuatan menantu yang berang isterinya meminta cerai, lapor laman berita Kompas TV, minggu lalu.


Perbuatan nekad itu mengakibatkan ibu mertua SH, 68, meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat melecur serius.


Ketua polis daerah Kalideres, Abdul Jana berkata, kebakaran itu turut menyebabkan dua lagi mangsa termasuk isteri suspek, melecur teruk.


"Dalam kebakaran itu, bapa mentua suspek bernama Rosyin, 70, dan anak perempuannya Rohayani, 40, melecur 45 peratus dan masih menjalani rawatan di hospital," kata Abdul Jana.


Menurutnya, suspek yang dikenali sebagai RH, 50, gagal mengawal perasaan selepas isterinya meminta cerai. Dia kemudian membakar rumah seluas 60 meter persegi itu yang didiami tujuh orang sehingga hangus dijilat api.


Akibat kejadian itu, hampir 58 peratus badan suspek melecur. Suspek dan mangsa masih menjalani rawatan di Hospital Besar Daerah Cengkerang.


Abdul Jana menjelaskan, suspek membakar rumah mertuanya pada Khamis (14/12/2023) sekitar jam 02:30 petang (waktu tempatan).


Sub-Jabatan Pengendalian dan Penyelamat Bomba Jakarta Barat yang menerima laporan itu segera mengerahkan 12 trak bomba dan 60 anggota untuk memadamkan kebakaran. Api berjaya dipadamkan sekitar jam 03:20 petang (waktu tempatan).


"Suspek nekad membakar rumah tersebut dengan niat untuk mengakhiri hidup mereka bersama-sama," kata Abdul Jana. - Sumber Kompas TV.


Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kalideres. - Foto Jawa Pos.


EmoticonEmoticon