Rabu, 6 Disember 2023

Penyepit makanan ditemukan dalam kepala hanya selepas lima bulan tersekat di situ


Seorang lelaki di Vietnam terkejut selepas doktor menemukan penyepit makanan yang patah di kepalanya, hanya selepas lima bulan alat itu tersekat di situ, lapor akhbar Metro UK, minggu lepas.


Lelaki yang tidak disebutkan namanya dari Vietnam itu dikejarkan ke bilik kecemasan di hospital selepas mengalami sakit kepala yang teruk, keluar cecair dan hilang penglihatan.


Lelaki berusia 35 tahun itu ditanya oleh doktor jika dia mempunyai sebarang petunjuk mengenai apa yang mungkin menyebabkan gejalanya itu, tetapi dia buntu.


Kakitangan di Hospital Persahabatan Cuba di bandar Dong Hoi, wilayah Quang Binh, menjalankan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengetahui punca masalah itu.


Mereka mendapati dia mengalami ketegangan pneumocephalus - keadaan yang tidak mengancam nyawa, biasanya disebabkan oleh trauma pada kepala.


Bagaimanapun, pakar perubatan juga menemukan penyepit patah yang menembusi tengkoraknya dari hidung, ketika pemeriksaan pada 24 November lalu.


Keluarga percaya penyepit itu pasti masuk ke hidung lelaki terbabit ketika dia terbabit dalam pergaduhan kira-kira lima bulan lalu.


Dia cedera dan dibawa ke hospital ketika itu tetapi penyepit tidak ditemukan dan tiada keabnormalan pada hidungnya dilaporkan.


Pesakit itu mengatakan dia tidak ingat dengan tepat apa yang berlaku dalam pergaduhan walaupun ada sesuatu 'menikam' wajahnya.


Kini, dia percaya lelaki yang menyerangnya pasti memasukkan penyepit ke dalam hidungnya.


Selepas konsultasi, doktor melakukan pembedahan endoskopik melalui hidung untuk mengeluarkan penyepit makanan itu.


Dia dilaporkan masih berada di hospital, namun dalam keadaan stabil ketika menjalani rawatan pemulihan.


Ketua Jabatan Pembedahan Saraf, Dr Nguyen Van Man berkata, ia adalah kes yang 'sangat jarang berlaku'. - Sumber Metro UK.


Doktor menemukan penyepit makanan yang patah di kepala seorang lelaki di Hanoi. - Foto Vietnam Cuba Hospital.


EmoticonEmoticon