Isnin, 11 Disember 2023

Penduduk berang ayam berkokok sebelum 7 pagi, penternak diarah memusnahkan ayam-ayamnya


Seorang penternak di Britain diarah memusnahkan ayam-ayam jantannya selepas jiran-jiran mengadu bahawa ia berkokok terlalu awal pada waktu pagi, lapor portal berita MailOnline pada 8 Disember 2023.


Pentadbiran Cheshire West dan Chester menerima aduan daripada jiran Luke Ormond bahawa bunyi kokokan kawanan ayam jantannya menyebabkan mereka bangun sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan).


Pihak berkuasa kemudian melawat rumah Ormond di Antrobus, bandar Northwich dan alat pemantauan bunyi yang dipasang merekodkan kokokan ayam jantan pukul 6.50 pagi (waktu tempatan).


Selepas beberapa bulan, Ormond menerima surat yang mendakwa kokokan ayamnya menyebabkan gangguan bunyi di kawasan perumahan itu.


Ormond, 28, berkata: "Ayam saya mula berkokok pukul 6.50 pagi tetapi ia dikatakan terlalu awal bagi penduduk di sini. Jika ia berkokok 10 minit selepas pukul 7 pagi, tidak ada masalah.


"Saya tidak dapat mengawal bila ayam jantan boleh berkokok," katanya. 


Ormond menternak dan menjual ayam sebagai hobi. Dia memelihara 100 ekor ayam termasuk ayam jantan di rumahnya.


Ormond berkata dia telah mengalami banyak tekanan oleh penyiasatan itu, dia terpaksa mengambil cuti lima hari dan kehilangan gaji untuk bertemu dengan pegawai majlis.


"Salah satu perkara yang sangat menyakitkan hati saya apabila jiran yang ada memelihara ayam sabung juga turut membuat aduan.


"Dulu kami mempunyai hubungan yang baik. Kami pernah menukar telur penetasan sebagai hadiah pada Krismas," katanya.


Ormond telah memulakan petisyen bantahan yang telah mendapat ratusan tandatangan daripada orang ramai yang menggesa pihak berkuasa menari balik arahan itu.


Petisyen Ormond bermula berbunyi: "Lindungi Hak Untuk Menyimpan Ayam Sabung di Luar Bandar Antrobus, Northwich.


"Saya adalah penduduk tempatan Antrobus, Northwich, UK dan selama lebih 14 tahun, saya telah menternak ayam di ladang pertanian saya.


"Ini bukan sahaja perniagaan saya tetapi juga hobi saya. Baru-baru ini, seorang jiran mengadu tentang bunyi ayam sabung saya, walaupun tinggal di kawasan pedalaman dan memiliki ayam sendiri.


"Kawasan luar bandar secara tradisinya menempatkan pelbagai jenis ternakan termasuk ayam itik. Bunyi yang mereka keluarkan adalah sebahagian daripada daya tarikan dan realiti kehidupan desa," tulisnya. - Sumber Daily Mail.


Ayam-ayam jantan milik Ormond berkokok sebelum pukul 7 pagi. - Foto Luke Ormond.


EmoticonEmoticon