Suasana di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran, Klang gempar apabila mayat seorang wanita dipercayai warga asing ditemui disimen dalam ruangan tandas sebuah rumah di kawasan itu, malam tadi.
Difahamkan kediaman terbabit sebelum itu disewa dua lelaki warga asing sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah lelaki berusia 66 tahun ingin pindah keluar, Oktober lalu.
Menurut sumber, selepas penyewanya berpindah, pemilik rumah datang ke kediaman terbabit untuk membuat pemeriksaan sebelum penyewa baru berpindah masuk.
"Bagaimanapun lelaki warga emas terbabit menyedari terdapat tambahan simen di dalam bilik airnya sebelum bertanya kepada penyewa lamanya namun tidak mendapat maklum balas.
"Selepas itu barulah mereka memaklumkan balik kepada pemilik rumah terbabit kononnya ada bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu menyebabkan terpaksa menambah simen," katanya.
Sumber berkata, lelaki itu yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mengupah pekerja warga asing untuk membaiki rumahnya.
"Ketika proses membaiki itulah mayat mangsa ditemui di dalam simen terbabit sebelum pemilik rumah tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran semalam.
"Polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit bagi mengeluarkan mayat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kes bunuh terbabit dengan penemuan mayat itu.
Menurut beliau, seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis juga mengenalpasti dua suspek lelaki warga asing yang menyewa di rumah itu dan dipercayai terbabit dalam kes terbabit.
"Polis kini sedang dalam tindakan mengesan kedua-dua suspek terbabit yang dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh," katanya dalam kenyataan malam ini.
Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kawasan luar kediamannya dipenuhi anggota polis dan bomba, kira-kira pukul 9.30 malam.
"Apabila ditanya, saya terkejut dimaklumkan mengenai penemuan mayat wanita di dalam rumah tersebut. Rumah itu sebelum ini memang pernah disewa warga asing sebelum dihuni pasangan isteri warga tempatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Bercerita lanjut, jiran tersebut turut memaklumkan terkejut melihat anggota bomba mengangkat mayat yang dilihat seperti gumpalan tanah liat.
"Saya difahamkan bahawa bomba membantu untuk memecahkan simen bagi mengeluarkan mayat tersebut. Tempat yang disimen itu dipercayai kolah rumah berkenaan yang didakwa bocor sebelum ini," katanya yang menetap di situ lebih 30 tahun lalu.
EmoticonEmoticon