Selasa, 26 Disember 2023

Lelaki pakai jubah serta berkopiah dicekup curi duit tabung masjid


Taktik seorang lelaki berjubah dan berkopiah untuk mencuri wang tabung Masjid Kubang Batang, Tumpat tidak berhasil apabila dia dicekup ahli kariah masjid itu kelmarin.


Suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan semasa leka 'mengail' wang menggunakan batang besi yang dipasang pelekat di dalam tabung masjid berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam.


Menurut ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Zulkifli Abdullah, 58, lelaki itu tiba di Masjid Ar-Rahman kira-kira 12 tengah malam sebelum memarkir keretanya di ruang belakang perkarangan masjid.


Katanya, lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam masjid dengan mengopak pintu yang berkunci sebelum terus mendekati tabung pengurusan yang berada di ruang solat lelaki.


"Sebenarnya sudah banyak kali berlaku kecurian wang tabung pengurusan masjid ini dan setiap kali melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia dilakukan orang serta waktu yang sama.


"Kejadian terakhir adalah minggu lalu jadi kami AJK masjid mengambil keputusan untuk membuat persediaan dengan menunggu di bilik yang menempatkan monitor CCTV.


"Jangkaan kami tepat apabila melihat lelaki yang sama seperti beberapa kejadian sebelum ini dan kami biarkan dia 'mengail' dengan batang besi yang dipasang pelekat itu beberapa ketika sebelum menangkapnya," katanya ketika ditemui di Masjid Ar Rahman.


Zulkifli berkata, lelaki itu cuba melawan dan berlaku sedikit pergelutan ketika diberkas lima AJK masjid terbabit namun berjaya dikawal sebelum pihak polis dihubungi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ibrahim Husin berkata, tiga ahli kariah masjid itu yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).


"Suspek bertindak melarikan diri, namun tiga anggota Rela itu sempat menangkap lelaki tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ibrahim memberitahu, pemeriksaan ke atas suspek menjumpai wang sebanyak RM405 yang dipercayai dicuri dari tabung masjid itu.


Katanya, seutas dawai disaluti pita pelekat dihujungnya yang dipercayai untuk memancing wang dari dalam tabung masjid turut dirampas bersama suspek.


"Siasatan mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu tiga kes mencuri dan satu kes menyamar sebagai penjawat awam," katanya.


Tambah Ibrahim, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Suspek yang ditahan selepas mencuri wang tabung Masjid Kubang Batang, Tumpat kelmarin. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon