Isnin, 25 Disember 2023

Berang belum dapat kerja, ratusan warga Bangladesh jalan kaki mahu buat laporan polis


Ratusan warga asing yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan berjalan beramai-ramai di Teluk Ramunia Bayu Damai, Kota Tinggi mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan.


Video itu tular di media sosial sejak malam tadi sehingga menyebabkan kebimbangan masyarakat.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, video berkenaan dirakam pada Rabu, 20 Disember lalu yang mana warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk di penempatan tersebut.


"Susulan itu terdapat satu laporan polis dibuat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan hasil tindakan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Imigresen seramai 171 lelaki warga Bangladesh telah ditahan.


"Kesemua mereka berumur antara 19 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Kesemua tangkapan warga asing berkenaan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Hussin berkata, pihaknya difahamkan kesemua mereka hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis ekoran ejen pekerjaan mereka tidak memberikan kerja.


"Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI), mereka semua masuk melalui jalan yang sah melalui ejen-ejen pekerjaan.


"Difahamkan, mereka belum dapat diberikan kerja oleh ejen dan sudah sekitar tiga ke enam bulan tiada pekerjaan.


"Jarak asrama ke balai polis kira-kira 10 kilometer. Difahamkan juga ejen masih belum memperoleh kerja yang sesuai dengan kehendak majikan," katanya.


Dalam video tular 1 minit 33 saat itu, seorang pengguna yang sedang memandu kereta terkejut dengan kehadiran ratusan warga asing yang sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang.


Ratusan warga asing yang berjalan beramai-ramai di Kota Tinggi ditahan polis Rabu lalu. - Foto tular.


EmoticonEmoticon