Jumaat, 24 November 2023

Wanita ditinggalkan, hidup melarat selepas suami menang loteri RM1.5 juta


Seorang wanita berusia 26 tahun di Thailand mendedahkan dia terpaksa menjalani kehidupan yang sukar selepas suaminya memenangi hadiah loteri berjumlah 12 juta baht (RM1.5 juta), lapor laman berita Thaiger pada 21 November 2023.


Wanita yang dikenali sebagai Janya dari wilayah Buriram itu berkata, dia telah berkahwin selama empat tahun dengan seorang pemandu lori dari daerah Nong Phai, wilayah Phetchabun.


Kehidupan mereka bagaimanapun berubah secara drastik apabila anak perempuan mereka secara rawak memilih nombor loteri 196, menyebabkan pasangan tersebut menerima hadiah tempat pertama.


Bagaimanapun, wang loteri itu hanya dipindahkan ke akaun bank suaminya dan selepas kemenangan tersebut, Janya berpindah ke Phetchabun, kampung halaman suaminya dengan mengharapkan kehidupan yang sejahtera.


Namun, kegembiraan itu tidak lama kerana suaminya berubah menjadi kaki botol dan seorang yang kasar.


Suaminya juga berbelanja besar, membina rumah bernilai 2 juta baht (RM264,588) dan membeli tanah dengan harga 3 juta baht (RM396,882).


Dalam masa sama, Janya ditinggalkan dengan hutang yang semakin meningkat dan terpaksa pulang ke rumah ibunya di Buriram, menganggur serta tidak berduit.


Suaminya juga tidak menunaikan janji membahagikan wang itu, hanya memberi Janya hanya 20 (RM2.6) hingga 100 baht (RM13) sehari dan tidak menyimpan wang untuk anak perempuan mereka seperti yang dipersetujui.


Lebih mengecewakan Janya apabila suaminya didapati mempunyai isteri baharu dan meninggalkan dia bersama anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun. - Sumber The Thaiger.


Janya ditinggalkan suami selepas dia mendapat wang loteri sebanyak RM1.5 juta di Thailand baru-baru ini. - Foto KhaoSod.


EmoticonEmoticon