Jumaat, 10 November 2023

Sup tumpah atas tangga 'rider' tuang semula ke dalam bekas makanan


Sebuah klip video memaparkan seorang penghantar makanan menuangkan semula sup yang tumpah ke dalam bekas sebelum menghantarnya kepada pelanggan, tular di media sosial Singapura, lapor laman berita Stomp pada 6 November 2023.


Seorang wanita bernama Wendy berkongsi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan bangunan bersebelahan di kawasan Somme Road pada 1 November kira-kira jam 11.45 pagi.


"Saya perasan sup itu tumpah di atas tangga dan memeriksa CCTV.


"Dia menuang semula sup yang tumpah ke dalam bekas dari beg plastik dan bahagian atas bekas lain," kata Wendy.


Dalam video itu, penghantar makanan tersebut dilihat membuka plastik makanan di atas tangga. Dia kemudian menuang semula sup yang tumpah di dalam plastik ke dalam bekas makanan itu.


"Ia tidak bersih dan benar-benar menjijikkan. Adakah restoran itu tidak membungkus dengan betul, adakah itu punca ia tumpah atau adakah penghantar itu menjatuhkannya?


"Bagaimanapun, dia sepatutnya menjelaskan kepada pelanggan dan menyerahkan kepada pelanggan untuk membuat aduan kepada restoran atau syarikat penghantaran," katanya.


Wendy berkongsi bahawa insiden sebegitu menyebabkan dia berhenti memesan dari platform penghantaran makanan sejak setahun lalu.


"Agensi Makanan Singapura (SFA) benar-benar perlu membuat peraturan bahawa kotak makanan mempunyai meterai atau pelekat supaya seseorang tahu sama ada penutupnya telah dibuka.


"Covid-19 sepatutnya menyedarkan kita semua tentang keperluan untuk kebersihan yang baik tetapi nampaknya kebersihan yang baik semakin menurun," katanya. - Sumber Stomp.


Penghantar makanan itu menuang semula sup tumpah ke dalam bekas makanan. - Foto Stomp.


EmoticonEmoticon