Salah satu karya terhebat Pablo Picasso berjudul Woman with a Watch, dijual pada harga AS$139.3 juta (RM653.6 juta) oleh firma Sotheby’s dalam satu lelongan di New York pada Rabu lalu, harga kedua tertinggi untuk artis seni tersebut.
Lukisan tahun 1932 itu menampilkan teman artis seni Sepanyol tersebut, Marie-Therese Walter dan dianggarkan bernilai lebih AS$120 juta (RM563 juta) sebelum dilelong, demikian menurut Sotheby’s.
Lukisan itu adalah sebahagian daripada jualan istimewa Sotheby’s pada minggu ini merangkumi koleksi milik peminat seni dan hartawan New York, Emily Fisher Landau yang meninggal dunia ketika berusia 102 tahun pada 2023.
Marie turut ditampilkan dalam satu lagi lukisan Picasso yang dilelong oleh firma Christie’s berjudul, Femme endormie atau Wanita Tidur.
Wanita itu berkenalan dengan Picasso di Paris dalam tahun 1927 ketika artis seni itu masih berkahwin dengan penari balet berketurunan Russia-Ukraine, Olga Khokhlova dan ketika Marie berumur 17 tahun. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan yang meninggal dunia tahun lalu.
Lima puluh tahun selepas kematiannya pada tahun 1973 pada usia 91 tahun, Picasso kekal sebagai salah seorang artis paling berpengaruh di dunia moden, dan sering dipuji sebagai seorang genius yang dinamik dan kreatif.
Dalam tahun 2021, Sotheby’s turut menjual sekeping lagi lukisan menampilkan Marie pada harga AS$103 juta (RM478.6 juta). - Sumber NDTV.
EmoticonEmoticon