Seorang penjaga stor kedai serbaneka dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah merakam jirannya mandi di Padang Temu, minggu lalu.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fakrul Najmi Rohaizan, 26, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati merakamkan gambar mangsa wanita berusia 44 tahun sedang mandi menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Padang Temu dalam daerah Melaka Tengah pada jam 10.50 malam, 10 November lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Mengikut laporan polis dibuat mangsa, dia menyedari dirinya dirakam selepas terlihat ada tangan lelaki memegang telefon bimbit di celah lubang angin tandas dan terus merampas gajet tersebut.
Ibu satu anak itu kemudian terus mendapatkan suaminya sambil memberitahu kejadian sebelum tertuduh muncul di rumahnya kononnya bagi meminta maaf. Tertuduh merupakan anak kepada jirannya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai penjaga stor dan menanggung keluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dari tarikh ditangkap iaitu pada 14 November lalu.
EmoticonEmoticon