Rabu, 15 November 2023

Nelayan miliki 81 gambar lucah dipenjara 8 bulan kerana gagal bayar denda


Seorang nelayan dipenjara lapan bulan selepas gagal membayar denda dikenakan oleh Mahkamah Majistret di Muar, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 81 gambar dan 13 video lucah dalam telefon bimbitnya pada Khamis lalu.


Tertuduh, Rahmat Rashid, 20, yang masih bujang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan gambar dan video lucah dalam telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Joned, Muar pada jam 3 petang, 9 November lalu.


Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, polis melakukan pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh selepas menerima laporan mengenai perbuatannya mengintai dan merakam individu mandi di sebuah rumah.


Hasil pemeriksaan, polis tidak menemui rakaman terbabit namun terdapat klip video lucah dan juga gambar yang disimpan dalam telefonnya. Polis menahan tertuduh selepas itu untuk menjalankan siasatan mengenai pemilikan bahan lucah terbabit.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki sementara tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh atas kelakuan tidak bermoral.


Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM4,500 ke atas tertuduh. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayarnya.


Tertuduh yang ditemani ahli keluarganya bagaimanapun gagal membayarnya sebelum dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka untuk menjalani hukuman itu.


Tertuduh, Rahmat dipenjara lapan bulan selepas gagal membayar denda atas kesalahan memiliki bahan lucah. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon