Ahad, 19 November 2023

NASA siasat objek terbang lebih 200,000 kilometer sejam mengeluarkan bunyi dentuman dan gegaran kuat


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyiasat kejadian aneh berupa penampakan cahaya terang di langit yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat, lapor akhbar Metro UK pada 17 November 2023.


Pada malam Isnin lalu, penduduk yang tinggal dalam lingkungan 80 kilometer di Minnesota melihat satu objek terang melintang di langit dan mendengar bunyi dentuman yang menggegarkan tingkap dan rumah mereka.


NASA percaya objek misteri itu menembusi atmosfera pada kelajuan antara 48,280 hingga 209,214 kilometer sejam.


Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami mendedahkan, letupan sonik yang terlalu dekat dengan daratan itu berasal daripada sebutir meteor dan tidak menyebabkan kemusnahan.


Ahli fizik tempatan yang mengkaji kejadian itu, Profesor Jun Cabanela berkata, keadaan semasa insiden berlaku menunjukkan bahawa objek itu bukan meteor biasa.


Tiga video mengenai kejadian itu juga diperoleh oleh pengarah Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami, Chris Muller.


Walaupun beberapa laporan mengenai kilat bersinar terang di langit pada malam Isnin, dia tidak dapat mengesahkan ia adalah objek terbang.


"Saya tidak fikir ia objek terbang tidak dikenali (UFO) dalam erti kata lain, makhluk asing.


"Sekiranya ia adalah apa-apa yang mungkin ada di udara, ia sepatutnya dikesan oleh radar. Kami telah menyemak dengan Perkhidmatan Cuaca dan mereka tidak mempunyai apa-apa dalam radar.


"Mereka juga tidak mengesan sebarang kilat ketika kejadian. Jadi, kami sebenarnya cenderung ke arah bahawa ini adalah sesuatu yang berada di atas atau berhampiran tanah," kata Muller.


Muller telah menyemak rakaman tambahan dari kamera lapangan terbang, dari malam Isnin dan pada waktu siang, dan kini dia percaya penampakan dalam video itu boleh dijelaskan. - Sumber Metro UK.


Pakar menganggarkan objek itu bersaiz sebesar peti sejuk. - Foto Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami.


EmoticonEmoticon