Seorang angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mengesan sebuah lubang gunung berapi yang kelihatan seperti wajah hantu di Gurun Sahara, Afrika apabila dilihat dari angkasa, lapor laman berita Fox News, Sabtu lepas.
Lubang gunung berapi itu sedalam kira-kira 1,000 meter (3,300 kaki) dan kelihatan seperti tengkorak yang mengerikan berdasarkan gambar dikongsikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Ia dirakam selepas seorang angkasawan di ISS melihat formasi ganjil itu di Pergunungan Tibesti, Republik Chad.
Gambar itu pada asalnya dirakamkan pada bulan Februari lalu tetapi kemudian dikongsi semula oleh pihak NASA.
"Lubang gunung berapi sedalam 1,000 meter dan Tasik Trou au Natron di utara Chad kelihatan seperti wajah hantu yang merenung kembali ke arah anda," kata Balai Cerap Bumi NASA dalam catatannya pada minggu lalu.
Gambar itu menunjukkan apa yang kelihatan seperti pembentukan tengkorak besar dengan dua soket mata dan hidung dikelilingi oleh bahan putih.
NASA berkata, soket mata dan hidung itu sebenarnya adalah bukit kon curam yang dibina di sekeliling lubang gunung berapi, manakala bahan putih ialah kerak mineral yang terhasil daripada garam dikenali sebagai natron.
Pergunungan Tibesti dianggap sebagai salah satu kawasan paling terpencil di dunia, yang telah menyukarkan para saintis melakukan penyelidikan di Tasik Trou au Natron pada 2015 lalu.
NASA mengatakan bahawa penyelidikan menunjukkan kawasan itu dipenuhi dengan tasik glasier kira-kira 14,000 tahun yang lalu, dan sampel alga akuatik fosil yang dikumpulkan dianggarkan bermula sejak 120,000 tahun. - Sumber Fox News.
EmoticonEmoticon