Jumaat, 24 November 2023

Lelaki ditahan selepas kantoi tukar cincin berlian RM1 juta dengan replika


Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas dia didakwa menukar sebentuk cincin berlian berharga SGD$318,000 (RM1.11 juta) di sebuah kedai di Marina Bay Sands, Singapura dengan menggantikannya dengan replika.


Portal berita The Straits Times pada 21 November 2023 melaporkan, polis menerima laporan mengenai kes penipuan itu sekitar pukul 1.15 tengah hari (waktu tempatan) pada 20 November.


Siasatan awal mendapati lelaki itu berpura-pura berminat untuk membeli cincin berlian tersebut di sebuah kedai barang kemas. 


Sambil memegang cincin dengan tangan kiri, dia mengalihkan perhatian pekerja kedai kepada barang kemas lain lalu menukarnya dengan sebuah replika menggunakan tangan kanan.


Kakitangan itu kemudian menyedari bahawa tanda harga pada cincin replika itu mempunyai tekstur yang berbeza dan memaklumkan kepada pegawai keselamatan.


Mereka kemudian menemui cincin berlian asli yang dicuri lelaki berkenaan sebelum dia ditahan oleh polis di lokasi kejadian.


Lelaki itu akan didakwa di mahkamah, jika didapati bersalah menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda. - Sumber The Straits Times.


Cincin berlian asli (kiri) ditukar dengan replika (kanan). - Foto Pasukan Polis Singapura.


EmoticonEmoticon