Seorang lelaki warga Australia tampil serah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini, selepas video dirinya membuang air kecil pada tiang di tempat parkir sebuah pusat beli-belah tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek ditahan di IPD Subang Jaya pada pukul 11.15 pagi tadi.
"Suspek merupakan warga Australia berusia 32 tahun.
"Hasil semakan mendapati suspek datang ke Malaysia untuk melawat keluarganya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, tular seorang lelaki pemandu Mazda yang membuang air kecil di tiang tempat parkir kereta sebuah pasar raya di Subang dalam kejadian 16 November lalu.
Perlakuan individu terbabit mendapat kecaman ramai setelah sebuah video berdurasi 50 saat dimuat naik di media sosial.
Wan Azlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
EmoticonEmoticon