Seekor ikan dayung atau 'oarfish' ditemui terdampar di pesisir pantai Los Coquitos, Republik Dominika pada Isnin lalu sebelum mati tidak lama kemudian, lapor akhbar The Sun, semalam.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk kerana terdapat kepercayaan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu.
Spesies itu dilaporkan hidup berdekatan Zon Septentrional-Oriente yang mencetuskan gempa bumi dan tsunami Cap-Haitien di Haiti pada 1842 sehingga mengorbankan kira-kira 5,300 orang.
Oarfish adalah salah satu ikan paling panjang di lautan dengan saiznya boleh mencecah sehingga 17 meter panjang dan berat lebih 200 kilogram.
Sesetengah penyelidik membuat spekulasi bahawa mereka bergerak ke perairan yang lebih cetek disebabkan oleh perubahan elektromagnet yang berlaku apabila terdapat aktiviti tektonik yang dikaitkan dengan sesar.
"Ia adalah ikan laut dalam, amat luar biasa untuk menemuinya di permukaan.
"Namun, ia tidak menimbulkan sebarang ancaman, ia hanya hidup di kawasan paling dalam," kata Timbalan Menteri Sumber Pantai dan Laut Republik Dominika, Jose Ramon Reyes.
Menurut cerita rakyat Jepun, kemunculan ikan oarfish di permukaan adalah isyarat bahawa gempa bumi akan berlaku dalam masa terdekat.
Ia dikaitkan dengan mitos Namazu, seekor ikan keli gergasi yang tinggal di bawah kepulauan negara itu dan kononnya menyebabkan gempa bumi apabila ekornya merotan-rotan dasar lautan.
Kepercayaan itu dipertingkatkan lagi selepas 10 ekor oarfish dihanyutkan di sepanjang pantai utara Jepun pada tahun 2010.
Beberapa bulan kemudian, gempa bumi besar melanda negara itu, mencetuskan tsunami yang membunuh hampir 19,000 orang dan memusnahkan loji nuklear Fukushima. - Sumber The Sun.
EmoticonEmoticon