Seorang lelaki Perancis yang bercuti di Switzerland terkejut menerima bil sebanyak 9,241 Swiss franc (RM48,547) daripada pasukan bomba negara itu selepas mereka menyelamatkan anjing peliharaannya yang terperangkap di dalam paip bawah tanah, lapor laman berita Oddity Central, minggu lepas.
Beberapa bulan lalu, Alian Chichignoud, 25, yang mengembara ke negara itu berdepan insiden tidak diingini apabila salah satu daripada tiga anjing peliharaannya, Gaia yang berlari mengejar musang berhampiran bandar Vaulruz tiba-tiba hilang.
Selepas dua hari mencari, Chichignoud mendapati anjing itu terperangkap dengan musang yang dikejarnya dalam paip yang sangat sempit. Chichignoud kemudian menghubungi perkhidmatan kecemasan dan sepasukan anggota bomba dihantar untuk membantunya.
Selepas menilai keadaan, anggota bomba memberitahunya bahawa mereka memerlukan lebih ramai anggota dan jentera khusus untuk mencapai paip itu dan dia perlu membayar kos operasi tersebut.
Tanpa berfikir panjang, Chichignoud terus sahaja bersetuju dan sepasukan 12 anggota bomba yang datang bersama jentera pembinaan milik sebuah syarikat swasta mengambil masa sekitar 9 jam untuk mengeluarkan Gaia.
Chichignoud kemudian menerima bil untuk operasi menyelamat anjing kesayangannya itu beberapa minggu kemudian dan diminta melunaskan caj mahal itu dalam tempoh 30 hari.
"Saya menghargai tanda kebaikan dan kebajikan pegawai bomba itu tetapi dengan jumlah bil yang tinggi ini, saya beranggapan kesusahan saya seakan digunakan untuk melapisi poket mereka," katanya.
Chichignoud bernasib baik apabila kisahnya mendapat perhatian pemilik anjing di seluruh dunia yang menghulurkan sumbangan melalui kutipan dana di laman Helloasso untuk melunaskan bil tersebut. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon