Lelaki berusia 60 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes penebangan pokok Sycamore Gap salah satu pokok terkenal di Northumberland, United Kingdom (UK), kata polis.
Pokok itu terletak di sebelah tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Tembok Hadrian di timur laut England.
Pokok yang berdiri selama hampir 200 tahun itu di Taman Negara Northumberland ditebang antara Rabu dan Khamis yang diklasifikasikan oleh pasukan penyiasat sebagai 'tindakan vandalisme yang disengajakan'.
Pokok itu terkenal di peringkat antarabangsa apabila ia digunakan untuk adegan dalam filem blockbuster pada 1991, Robin Hood: Prince of Thieves, yang dibintangi Kevin Costner.
Tinjauan AFP mendapati, tunggul pokok itu dilihat dengan kesan cat putih dan kelihatan seolah-olah dipotong dengan gergaji.
Terdahulu, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki melakukan jenayah kerosakan pada Khamis berhubung kejadian itu dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Polis Northumbria berkata lelaki berusia 60-an itu ditahan pada petang Jumaat dan masih dalam tahanan polis bagi membantu siasatan.
Theguardian melaporkan, Ketua Deketif Polis Rebecca Fenney-Menzies, dari polis Northumbria, berkata kemusnahan yang tidak masuk akal terhadap mercu tanda terkenal di dunia dan khazanah tempatan itu menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Penahanan kedua ini menunjukkan betapa seriusnya kami terhadap kes ini dan komitmen berterusan kami untuk mencari mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan.
"Walaupun seorang lagi suspek ditahan, namun siasatan masih di peringkat awal, dan kami meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung dengan pihak polis," katanya.
National Trust berkata pokok itu ditanam antara 1860 dan 1890 serta diundi sebagai Pohon Terbaik Inggeris pada 2016.
Pokok Sycamore itu, yang memenangi Woodland Trust's Tree of the Year pada 2016 adalah tarikan utama hingga gambarnya dirakam jutaan pelawat. - Sumber The Guardian.
EmoticonEmoticon