Jumaat, 27 Oktober 2023

Wanita dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui mati dalam kereta di Restoran Jejantas Sungai Buloh


Seorang wanita yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak Rabu lalu, ditemui meninggal dunia dalam kenderaannya di kawasan meletak kenderaan Restoran Jejantas Sungai Buloh, arah utara, pagi tadi.


Polis menerima laporan berhubung penemuan seorang wanita tidak sedarkan diri dalam kereta melalui panggilan MERS999 kira-kira jam 10.50 pagi.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kota Damansara bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.


"Sampai di lokasi, pihak polis menemui mayat seorang wanita berada dalam sebuah kereta jenis Honda City.


"Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 tahun dalam kenderaan tersebut yang berkunci," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, pihaknya turut menemui satu periuk berisi arang batu yang telah dibakar di dalam kereta terbabit.


"Mangsa juga dilaporkan hilang sejak Rabu lalu oleh keluarganya di Taman Kepong, Kuala Lumpur," katanya.


Fakhrudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk mengetahui punca kematian serta ujian saringan Covid-19.


Beliau berkata, individu yang ada maklumat mengenai kejadian atau mengenali mangsa, diminta tampil menbantu siasatan polis dengan menghubungi Balai Polis Kota Damansara.


Seorang wanita ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di Restoran Jejantas Sungai Buloh arah utara, pagi tadi. - Foto Ihsan Polis.


EmoticonEmoticon