Isnin, 23 Oktober 2023

Wanita dalam mimpi Shila Amzah tiada kena mengena dengan Sophia AlBarakbah

 

"Saya rasa tidak perlu komen tentang isu itu kerana tidak ada kena mengena dengan saya," kata pelakon Sophia AlBarakbah.


Demikian kata-kata pelakon, Sophia Albarakbah ketika diminta mengulas usikan netizen selepas penyanyi, Shila Amzah berkongsi bermimpi seorang pelakon wanita menganggu suaminya, iaitu personaliti media sosial Ubaidillah atau lebih mesra disapa Ubai.


Biarpun Shila tidak menyebut nama pelakon wanita berkenaan, namun netizen memetik nama Sophia sekali gus dikaitkan dengan mimpi penyanyi itu.


Sophia, 30, dalam nada terhibur bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut kerana beranggapan mimpi tersebut tidak ada kena mengena dengan dirinya.


"Netizen tahu ya dia (Shila) mimpi siapa (ketawa). Hebat netizen kita," katanya ketika ditemui di program Famili Duo musim ketiga (FD3) dekat Studio NTV7, Glenmarie, malam tadi.


Terdahulu, ciapan Shila di aplikasi Twitter mengundang usikan netizen yang meneka Sophia adalah wanita yang dikatakan menganggu suaminya di dalam mimpi.


Mengenai kehadirannya pada konsert FD3 pula, kata Sophia, dia teruja apabila pertama kali hadir di program realiti hiburan itu.


Sebelum ini, Sophia pernah hadir pada program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) dan mengakui dirinya memang meminati acara hiburan. 


"Ini pertama kali saya hadir pada FD3 dan saya mahu melihat semua persembahan terlebih dahulu, selepas melihat kesemuanya baru saya tahu nak sokong peserta yang mana nanti," katanya.


Menurut Sophia lagi, dia memang minat acara hiburan, tetapi bukan untuk menjadi penyanyi.


"Kalau menyanyi pun hanya untuk diri sendiri," katanya yang juga sepupu penyanyi, Aisha Retno.


"Netizen tahu ya dia (Shila) mimpi siapa. Hebat netizen kita," kata Sophia Albarakbah ketika diminta mengulas usikan netizen.


EmoticonEmoticon