Rabu, 18 Oktober 2023

Dahan pokok durian dipotong, lelaki warga emas minta pampasan RM15,000 diserang penduduk


Seorang warga emas berusia 70 tahun diserbu penduduk kampung yang berang terhadapnya selepas dia meminta ganti rugi kerana tidak berpuas hati dahan pokok duriannya dicantas, lapor laman berita Tribunnews pada 17 Oktober 2023.


Dalam kejadian pada 6 Oktober lalu, penduduk Kampung Purwosari, Temanggung, wilayah Jawa Tengah melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan mereka.


Mereka kemudian ada mencantas dahan pokok durian milik lelaki itu yang dikenali sebagai IK kerana ia dikatakan menjulur ke atas jalan.


Berang dengan tindakan tersebut, IK melaporkan perkara itu kepada ketua kampung dan meminta ganti rugi sebanyak 50 juta rupiah (RM15,061).


Video kejadian itu tular selepas dimuat naik di media sosial pada 14 Oktober lalu. Pada awal rakaman video tersebut, kelihatan orang ramai memenuhi Balai Desa Purwosari, Kecamatan Wonoboyo, Kabupaten Temanggung.


Beberapa saat kemudian, kelihatan seorang lelaki dikawal rapi oleh anggota polis. Penduduk kampung yang berasa marah dengan permintaan itu kemudian bertindak menyerbu warga emas tersebut dan cuba menyerangnya.


Dalam video itu orang ramai dilihat mengelilingi lelaki tersebut. Keadaan mula reda apabila lelaki itu diselamatkan daripada kemarahan orang ramai dengan dimasukkan ke dalam kereta polis.


Perkara itu bagaimanapun telah selesai dengan penduduk kampung bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 5 juta rupiah (RM1,506). - Sumber Tribun News.


IK diserbu kumpulan orang ramai sehingga memaksa polis campur tangan dan membawanya keluar. - Foto Tribunnews.


EmoticonEmoticon