Selasa, 3 Oktober 2023

Pelancong terkejut lebih 250 kelawar tumpang tidur dalam bilik hotel


Pasangan pelancong yang bercuti di Republik Czech terkejut selepas mendapati lebih 250 ekor kelawar 'menumpang tidur' di dalam bilik hotel mereka di bandar Plzen, lapor akhbar Daily Mail pada 30 September 2023.


Gambar tular menunjukkan seorang pekerja penyelamat haiwan, Radek Zemen dan penyambut tetamu hotel cuba menangkap 256 ekor kelawar yang terbang masuk melalui tingkap.


Pasangan yang menginap di Hotel Art Nouveau Sloven bertaraf tiga bintang di bandar Plzen dikatakan membiarkan tingkap bilik tidur mereka terbuka sebelum tidur.


Mereka juga turut membiarkan pintu bilik tidur yang menghala ke koridor sedikit terbuka pada malam itu kerana panas terik.


Tetapi apabila mereka tersedar keesokan harinya, mereka mendapati ratusan kelawar Soprano yang sedang mengantuk di siang hari bergantungan di dinding, siling dan langsir bilik tersebut.


"Pintu dewan juga dibiarkan terbuka oleh kakitangan pembersihan, jadi kira-kira 50 kelawar bersembunyi di ruang antara dinding dan siling berhampiran perabot.



"Penyambut tetamu menunjukkan risalah dalam tiga bahasa antarabangsa yang diletakkan di setiap bilik memaklumkan tetamu dan kakitangan tidak boleh membiarkan tingkap terbuka kerana terdapat risiko pencerobohan kelawar.


"Tetapi malangnya mereka mengambil amaran itu secara sambil lewa. Ketika cuaca panas, anda perlu bersedia dengan lawatan tak diundang ini jika tidak berhati-hati," kata Zemen.


Jurucakap pusat penyelamat haiwan Karel Makoň berkata: "Rekod 256 kelawar hidup dan 11 kelawar mati ditemui di bilik No. 212, di mana tetamu yang tidak bertanggungjawab membiarkan tingkap terbuka."


Sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa Czech telah memberi amaran kepada penduduk tempatan tentang 'pencerobohan kelawar' pada bulan Ogos dan September.


Bandar Plzen berada di tengah-tengah laluan penghijrahan kelawar yang menjadikannya tempat persinggahan semula jadi.


Menurut Czech Union of Nature Conservators, tahun lalu antara Ogos dan September pusat penyelamat haiwan menemui sejumlah 1,306 kelawar di pangsapuri dan bilik hotel. - Sumber Daily Mail.


Radek Zemen menangkap kelawar yang berterbangan di sebuah bilik di Hotel Art Nouveau Sloven di bandar Plzen, Republik Czech. - Foto Ed Wight.


EmoticonEmoticon