Gambar hiasan.
Malang nasib lelaki berusia 82 tahun di Korea Selatan yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas tercekik sotong hidup yang dihidangkan sebagai makanan istimewa tempatan, lapor laman berita Independent UK pada 25 Okotober 2023.
Insiden itu berlaku di bandar selatan Gwanju pada Isnin lalu, apabila bomba menerima laporan mengenai san-nakji tersekat pada kerongkong seorang lelaki. Nama hidangan san-nakji itu secara literal diterjemahkan sebagai 'sotong hidup'.
Menurut bomba, ketika pihaknya tiba di tempat kejadian, lelaki itu sudah mengalami serangan jantung. Anggota bomba memberi bantuan pernafasan tetapi ia tidak dapat memulihkan mangsa. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital tempatan.
Hidangan san-nakji terdiri daripada sotong mentah yang dicincang dan dihidangkan secara tradisional, dengan disiram minyak bijan. Ia dihidangkan serta-merta selepas haiwan itu dicincang dan ketika kepingan sotong itu masih bergerak-gerak.
Difahamkan, ia dihidangkan semasa sesungut sotong masih bergerak-gerak. Oleh itu, makanan itu menimbulkan risiko keselamatan dan orang ramai dinasihatkan untuk memotongnya menjadi kepingan yang lebih kecil dan mengunyah dengan teliti sebelum ia ditelan.
Insiden ini bukan satu-satunya kejadian di mana orang mati akibat sesak nafas akibat memakan hidangan berkenaan.
Sekurang-kurangnya tiga individu meninggal dunia akibat memakan hidangan sotong hidup antara 2007 dan 2012, menurut data dari Ibu Pejabat Bomba dan Bencana Metropolitan Seoul yang dipetik oleh The Korean Herald.
Pada 2013, dua lagi kematian direkodkan, dan satu lagi kejadian, membabitkan seorang lelaki berusia 70-an yang berlaku pada 2019, menurut laporan berita tempatan.
San-nakji disenaraikan di antara makanan paling berbahaya di dunia, bersama-sama dengan katak kuak dan ikan buntal beracun, oleh beberapa saluran berita Barat. - Sumber Independent UK.
EmoticonEmoticon