Seorang pemungut sampah berusia 40 tahun di negeri San Luis Potosi, Mexico meninggal dunia selepas ditembak sepucuk pistol yang dibuang ke dalam beg plastik sampah.
Kes jenayah membabitkan senjata api semakin berleluasa di Mexico sehingga orang ramai dikatakan membuang pistol berisi peluru ke dalam tong sampah yang dilihat boleh meragut nyawa pemungut sampah.
Menerusi lapor laman berita Oddity Central pada 26 Oktober 2023, kejadian itu berlaku berhampiran dewan bandar Rioverde di San Luis Potosi, Mexico pada 16 Oktober lalu.
Ketika kejadian, sekumpulan pekerja sedang melakukan kerja-kerja memungut sampah menggunakan lori di kawasan berkenaan.
"Seorang pekerja sedang memungut beg sampah lalu membuangnya ke dalam lori apabila secara tiba-tiba terkena tembakan.
"Pekerja lain terkejut dan menyedari rakan sekerjanya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas tanah.
"Mereka mula mencari-cari penyerang, tetapi tidak ada bahaya yang kelihatan lalu segera menghubungi ambulans dan mangsa kemudian dikejarkan ke hospital," jelas laporan.
Lelaki itu meninggal dunia akibat luka tembakan sejurus selepas dibawa ke Pusat Perubatan Rioverde. Berdasarkan laporan akhbar El Universal, lelaki itu maut akibat terkena tembakan terlepas daripada pistol yang dibuang ke dalam beg sampah.
Dilaporkan, pihak berkuasa masih sedang menyiasat kes itu dengan harapan dapat mencari pemilik pistol tersebut untuk mengheret pihak berkenaan ke muka pengadilan. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon