Seorang lelaki di Vietnam ditahan semalam kerana mengunci rumah jiran dengan tujuh orang berada di dalamnya sebelum membakar kediaman itu baru-baru ini, lapor portal berita VNExpress pada 26 Oktober 2023.
Kejadian berlaku kerana lelaki tersebut marah selepas aduan bising dibuat oleh jirannya itu.
Huynh Tan Duy, 37, ditahan dan menghadapi tuduhan cubaan membunuh selepas kesemua mangsanya berjaya menyelamatkan diri walaupun mendapat kecederaan.
Siasatan mendapati Duy telah bertengkar dengan jirannya iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun, malam Selasa lalu.
Jiran itu mengadu bahawa lelaki itu membuka pintu terlalu kuat menyebabkan anak lelakinya yang berusia 1 tahun menangis.
Duy menunggu sehingga lewat tengah malam dan membawa tin petrol dan tali besi ke rumah jiran itu.
Dia mengikat pintu dengan tali besi untuk menghalang orang ramai daripada membukanya sebelum menyimbah petrol ke tingkap rumah untuk membakar kediaman tersebut.
Nguyen Van Diep, seorang lagi jiran, melihat tindakan Duy dan menjerit untuk memaklumkan mangsa.
Tujuh orang dalam rumah tersebut berjaya melarikan diri dengan memecahkan pintu belakang, dua daripadanya cedera selepas terjun dari tingkat dua.
Polis menghantar 20 pegawai untuk memindahkan orang ramai dari kawasan itu dan 30 anggota bomba dengan lima trak bomba untuk memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira 20 minit.
Kebakaran itu memusnahkan tiga motosikal dan beberapa barangan di rumah berkenaan menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira AS$8,126. - Sumber VNExpress.
EmoticonEmoticon