Sepasang pengantin baharu di Surabaya, wilayah Jawa Timur terpaksa bernikah di balai polis selepas si lelaki ditangkap mencuri sebuah motosikal, tiga hari menjelang tarikh perkahwinan mereka, lapor laman berita Bongkah pada 21 Oktober 2023.
Tomi Fira, 25, mengahwini pasangannya di balai polis Sukolilo pada Sabtu (21/10/2023) selepas diberkas kerana mencuri motosikal Honda Scoopy pada Rabu minggu lalu.
Ketua Polis Sukolilo, Komisioner Polis Made Parera Negara berkata, suspek cuba mencuri kenderaan tersebut ketika waktu awal pagi sebelum disedari mangsa.
"Ketika itu motor tersebut berjaya dikeluarkan dari teres rumah, kemudian motor yang dicuri dihidupkan.
"Namun, penghuni rumah terjaga daripada tidur lalu keluar dari rumah untuk menangkap suspek yang belum sempat melarikan motosikal mangsa," katanya.
Sebelum polis tiba, suspek sempat dibelasah penduduk sehingga mukanya bengkak, manakala seorang rakan subahatnya sempat melarikan diri.
Dalam keadaan lebam, suspek yang berasal dari Ambengan Batu, Tambaksari, Surabaya itu segera dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sukolilo.
"Ketika ditangkap, keluarganya datang dan meminta agar majlis pernikahan suspek dan pasangannya boleh berlangsung di balai polis mengikut perancangan asal," kata Made.
Selepas mendapat persetujuan semua pihak, pasangan itu dinikahkan pada Sabtu lepas di balai polis dengan kedua-duanya memakai pakaian pengantin berwarna kelabu.
Sejurus selesai dinikahkan, suspek mengakui perbuatannya itu dan menyatakan penyesalan kerana membuatkan isteri dan keluarga sendiri serta keluarga mentua malu besar.
"Maaf, saya berasa malu sekali," ujarnya.
Suspek turut mendedahkan bahawa perbuatan itu dilakukan kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli cincin pernikahan kepada isterinya.
"Saya mencuri motosikal untuk membeli cincin sebagai mas kahwin. Nampaknya hajat itu tidak kesampaian," katanya. - Sumber Bongkah.id.
EmoticonEmoticon