Tuah lelaki Chile ini apabila memenangi kes tuntutan wang simpanan bapanya bernilai AS$1.1 juta (RM5.26 juta) sekali gus menjadikannya jutawan dalam sekelip mata, lapor India Times minggu lalu.
Exequiel Hinojosa sedang memeriksa barang peninggalan bapanya yang meninggal dunia 10 tahun lalu sebelum menemui buku simpanan bank berusia enam dekad yang disimpan dalam kotak dan tiada sesiapa dalam keluarga mengetahuinya.
Bapanya, dikatakan menyimpan wang berjumlah 138,000 peso Chile (kira-kira RM722) antara tahun 1960 hingga 1970-an untuk membeli rumah.
Buku simpanan itu menunjukkan, dengan kadar faedah dan inflasi jumlah itu kini dianggarkan bernilai lebih 1 bilion peso, atau hampir AS$1.2 juta hasil simpanan berdekad lamanya.
Malangnya, lelaki itu mengetahui bank tempat bapanya menyimpan wang itu sudah ditutup lama dahulu.
Buku bank serupa didapati tidak bernilai, tetapi buku simpanan yang ditemuinya mempunyai butiran penting yang menunjukkan, sekiranya bank tidak dapat membuat pembayaran, kerajaan akan mengambil alih kawalan.
Bagaimanapun, kerajaan semasa tidak dapat menyelesaikan kes itu membuatkan Hinojosa terpaksa membawa kes itu ke mahkamah menuntut hak keluarganya.
Mahkamah memutuskan tuntutan itu memihak keluarga Hinojosa, namun kerajaan membuat rayuan.
"Wang itu milik bapa kami. Dia menyimpannya dengan hasil kerja kerasnya yang dijamin dengan komitmen kerajaan.
"Jika sistem keadilan, mahkamah agung, mahkamah rayuan memutuskan memihak kepada saya, yang tinggal untuk menyelesaikan masalah ialah membayar apa yang perlu dibayar, tidak lebih dan tidak kurang," kata Hinojosa.
Akhirnya, Mahkamah Agung memutuskan kerajaan membayar pampasan kepadanya AS$1,100,000 (RM5.26 juta) bersama-sama dengan faedah dan elaun. - Sumber India Times.
EmoticonEmoticon