Pemilik kedai haiwan peliharaan di China, baru-baru ini, ditangkap selepas cuba menyeludup berpuluh haiwan eksotik dengan menyembunyikannya di dalam pakaian dalamnya, lapor Mirror UK pada 17 September 2023.
Chen, 32, ditemukan bersama 15 ular, empat lipan gergasi dan seekor cicak, ketika dia dalam perjalanan dari Hong Kong ke tanah besar China, di mana dia berniat untuk menjualnya.
Chen didakwa memasukkan reptilia yang sebahagiannya adalah haiwan beracun itu ke dalam coli dan poket pada pakaian, dengan harapan dapat membawa hidupan itu ke premisnya di China.
Bagaimanapun, dia ditahan oleh pegawai kastam selepas melihat wanita itu gementar dan memakai pakaian yang saiznya kelihatan lebih besar.
Hasil pemeriksaan badan mendapati Chen menyembunyikan sembilan ular, enam ular hognose, empat lipan gergasi Peru, dan cicak genus Anolis, yang semuanya adalah haiwan eksotik.
Menurut Jabatan Kastam, haiwan berkenaan dirampas dan kemudian diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Chen mengaku merancang untuk menjual haiwan itu sebaik tiba di Foshan, China dan mengakui berjaya melakukan perkara sama pada masa lalu.
Tambahnya, memandangkan haiwan itu sukar ditemui di pasaran China, dia dapat menjualnya pada harga tinggi kepada pelanggan yang ingin menempatkannya sebagai haiwan peliharaan atau menggunakannya untuk tujuan perubatan tradisional.
Salah satu ular dirampas daripada Chen adalah ular Lampropeltis, yang mempunyai racun sangat toksik dan boleh membunuh manusia.
Lipan Peru, Scolopendra gigantea, pula boleh membesar sehingga 11 inci panjang dan mempunyai racun yang juga boleh membawa maut.
Mengikut undang-undang China, haiwan yang dibawa masuk ke dalam dan ke luar negara mesti dikuarantin dan diperiksa oleh pihak berkuasa terlebih dahulu untuk mencegah spesies asing invasif serta melindungi keselamatan ekologi.
Sementara itu, Jabatan Kastam tidak menyatakan apakah implikasi undang-undang yang akan dihadapi Chen. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon